Feed on
Posts
comments

NOTIS PERPINDAHAN

DENGAN SECARA RASMI EH!

DEN KOBARKAN KAT EKAU SEMUO. DEN DAH PINDAH….

ALAMAT RUMAH BARU DEN KEK SINI

http://mazaaida.blogspot.com

(Gebuk Kecil Kembara Jalanan)

Blog ini akan diteruskan tapi tak aktif…..hehehehehe

Bookmark and Share

Semalam hari Rabu,
Hari ini makan nasi kerabu…

Malam ini malam Jumaat.
rasanya masa jalan agak lambat

tak tahan nak sebat..
bontot diangkat
kaki di lipat

kendian nafas jadi tersekat-sekat!

Ah! itu tanda orang hebat
keluarga ramai jadi berkat…

`

(Gurindam: Ketam Gulai Lemak Cili Api - terangkat bontot beb)! Fuhhhh…

Credit to my beloved wife….hehehhhe

*** Sekali-sekala makan yang lazat-lazat rasanya tak menganggu kesihatan…

Bookmark and Share

(Gambar: Nasrun Ketika Umur Lima Tahun)

Si anak kecil berumur lima tahun merenget di kaki. Kami sedang menuju ke jalan besar. Mulanya mahu meninjau-ninjau kenduri kahwin di rumah hujung, kalau-kalau sudah selesai.

“Ayah nak naik atas. Nak dukung”

Mulanya si ayah malas hendak melayan kanak-kanak comel itu. Malas untuk mengeleknya (kelek / dukung / kendong). Rasa terbeban juga, kus-semangat!

“Tak mahu lah. Nasrun dah besar. Dah sekolah”

“Ayahkan kuat, kan?!” Nasrun menyoal bersungguh sambil jari telunjuk tertenggek berdiri tegak di hadapan mukanya.

Aku terpaksa juga mengangguk sambil berkerut dahi, “pandai pulak si Nasrun ni mengambil hati”

Aku mengangkatnya.

“Ayah kuat kan! Nasrun pun kuat juga, kan!”

Tersembur aku dibuatnya sambil menahan geli hati. Beban yang diangkat tiba-tiba terus ringan dan mampu memberikan khidmat kepadanya.

Bookmark and Share

Terang Hati

Sadhaqallah hulazim. Esok maza boleh beralih ke surah lain pula, ya.” Atok Dara menamatkan sidang mengaji pada malam itu.

Dari riak lentuk lampu pelita yang samar, Atok Dara memulakan kembali bicara.

———“Atok nak cerita sikit tentang junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi kita tidak pernah ketawa terbahak-bahak. Waema nampak sesuatu yang amat lucu sekali pun, baginda hanya sekadar tersenyum.

Pernah Nabi S.A.W melihat gelagat isterinya, Aishah, yang kelakar. Lalu baginda berasa geli hati yang amat sangat. Baginda hanya tersenyum lebar hingga menampakkan gigi putihnya.

Lagipun, kalau kita ketawa terbahak-bahak, akan menggelapkan hati. Orang yang gelap hati susah hendak mendapat hidayah. Orang yang tidak mendapat hidayah tidak akan dapat petunjuk. Dan dia  akan sesat. Bila sesat akan banyak buat dosa.

Lepas banyak dosa, dia akan dimurkai oleh Allah S.W.T. Apabila Tuhan marah, kita akan masuk neraka. Faham?!”

Maza hanya sekadar mengangguk-anggukan kepala sambil memeluk muqqadam di dada.

“Dah. Sekarang ni pergi simpan muqqadam baik-baik.”

Maza bangkit lalu meletakkan muqqadam bersama rehal di atas gerobok di ruang seri rumah.

Di luar rumah cengkerik sibuk mengeselkan kakinya. Lalu memancarkan bunyi nyaring memecahkan sunyi malam. Katak saling cabar mencabar, sambil memohon hujan agar turun. Angin malam menghembus layu membawa dingin bersamanya.

Sambil menepuk-nepuk bantal maza cuba berbaring. Di atas tikar mengkuang, di dalam bilik tanpa berpintu itu, maza masih terkebil-kebil. Terkial-kial sendirian.

Fikiran menjadi ribut. Mata tidak mahu lelap.

Tidak senang dengan itu, maza pergi mendapatkan lampu picit di balik bantal ayah. Lalu memasangkannya.

Lampu picit yang sudah menyala itu dihalakan ke dada. Kemudian diarak ke perut. Tidak cukup dengan itu, kembali ia mencerah di belakang tubuh leper ini. Kelihatan beberapa kerat tulang selangka.

“Eh! Kau buat apa tu?”, emak menyoal sambil mendapatkan tempat tidurnya di sebelah maza.

“Abang nak ‘TERANGKAN HATI’. Siang tadi abang banyak main dan ketawa galak, terbahak-bahak”

“Uhuk! Uhuk!”, dari tiang seri, di ruang tengah rumah Atok Seman membetulkan suaranya. Atok Seman mengurut dada yang pepes itu sambil terbatuk-batuk kecil.

Kemudian Atok Seman bangun sambil melangkah ke pintu. Lalu dia membuka pintu itu sebelum menuruni tujuh anak tangga.

“Awak nak ke mana pulak tu?”, periksa Atok Dara kepada suaminya sambil menggobek sirih.

“Nak ke baruh sekejap. Ke kedai Jantan. Nak TERANGKAN HATI dengan api rokok. Rokok daun aku dah habis.”, Atok Seman berlalu dengan bersahaja sambil menggulum gusi tersenyum simpul.

Genuine Idea by maza

Bookmark and Share

Majlis Perpisahan Graduan

Di akhir perpisahan di majlis graduasi para pelatih mendengar sesi bebelan terakhir Cikgu Hawa.

Masing-masing sedang berkumpul untuk mengambil keputusan. Keputusan penentuan sama ada lulus ujian memandu atau sebaliknya.

“Zaid, Halim, Kepten Hamzah, Komander Rosman. Tahniah anda lulus” Cikgu Hawa memanggil nama-nama calon untuk menyerahkan keputusan ujian.

“Yang tidak berjaya, jangan berputus asa. Kita akan bertemu semula di litar lumba itu untuk ulangkaji. .

Saya juga berharap, mereka yang sudah berjaya ini tidak akan kembali bertemu saya untuk meng ‘up-grade’ lesen A atau M mereka.

Tetapi, walau macam mana sekali pun, kehadiran anda tetap juga saya alu-alukan. Kami akan bantu sebaik yang mungkin. Dan anda sendiri tahu, di sinilah tempat sebaik-baiknya untuk anda belajar memandu”.

Masing-masing mengaru-garukan kepala tanda tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Cikgu Hawa.

“Kenapa kami tidak digalakkan untuk up-grade lesen A dan M di sini Cikgu?” seorang anak muda yang innocent mengangkat tangan dan bertanya.

“Cuba lihat di belakang lesen anda.”

Masing-masing memalingkan lesen. Yang tidak ada sibuk menjengah rakan di sebelah.

Tertera: -

Lesen A - Kenderaan Orang Cacat

Lesen M - Hukuman Mahkamah

`

Pingan ayan: hati-hati di mana jua anda berada!

Bookmark and Share

Konspirasi Menjatuhkan Maza

Teori Domino

Februari 19, 2009 – Khamis malam Jumaat.

Heboh di seantero surat khabar perdana. Kes gambar ADUN Bukit Lanjan, Elizebeth Wong terpapar di atas meja. Mata sudah mahu terpejam. Ulas mata sudah memberat.

Dengan longlai maza merebahkan badan di atas katil.

Beberapa detik kemudian terjaga. Malam terasa panas. Membahang tidak tentu hala. Memang sekarang giliran musim angin panas menghembus.

Tidak selesa dengan itu, maza melepaskan gebar. Seluar sudah dicampakkan entah ke mana. Tinggallah baju melayu dan kupiah masih terlekat di kepala.

Tetapi bahang itu tidak mahu melepaskan diri ini. Masalah masih tidak hilang juga. Maza selak langsir dan memyengkang luas tingkap di tingkat empat pangsapuri.

Sambil mengangkang beraksikan kuak lentang, maza mulai terlelap. Tidur-tidur ayam.

Sedang dibuai lena, tiba-tiba ada sambaran cahaya dari tingkap. Cerah silang menyilang. Silau!

Maza bergegas bangkit tergesa-gesa. Seumpama kucing yang disergah, bingkas bersiap sedia. Menggigil dan merah padam muka. Terpamer muka bengis yang marah.

Habis periksa, rupanya kilat sedang sambar-menyambar. Tingkah bertingkah di sana sini. Barangkali mahu hujan. Tetapi di mana?

Hati menjadi tenang kembali. Takut juga kalau-kalau ada paparazi mahu mengambil curi gambar maza. Kemudian mereka menjualkannya.

Risau juga kalau ada orang hendak mengambil untung lalu menjajakan gambar pelbagai posisi maza itu.

“Eh! Akukan tidur di tingkat empat?! Mana mungkin ada orang mahu panjat. Tetapi kalaulah ada… hmm siapa pulak nak buat kerja macam tu? … err …Alamak hantu langsuir!..”.

Cepat maza menutup tingkap dan menarik semula langsir.

Kali ini maza tidak hiraukan lagi hawa panas itu. Keselamatan diri harus diutamakan. Akhirnya di dalam gebar itu maza terlena, walaupun dibasahi oleh peluh sendiri.

moral: sekarang ini, dalam rumah sendiri pun rasa tak selamat! Tukang hendap mungkin berada di mana-mana….Belum cerita tukang pecah mangga rumah!

catatan : cetusan inspirasi dari SAHABAT blog handalan…

Bookmark and Share

Yahoooo! Gempak punya..

Yahooo!!!

Erk! Haruskah aku memberitahu kepada dunia bahawa doa kalian sudah dimakbulkan?!

Haruskah?!

Baiklah.

Maza sudah lulus ujian memandu B penuh! Yahoooo

Alhamdulillah…..

Yahoooo dot com dot my…. kebab kebam bommmm

Hehehehe

Bookmark and Share

Entry ini agak panjang … Tetapi memang berbaloi untuk disoroti. Selamat membaca…

`

Razali, Saadiah dan anak mereka Suhana sedang menghala ke utara dari Kuantan untuk menghantar batang-batang besi.

Suhana berusia dua belas bulan baru pandai jalan-jalan jatuh. Telatah pelat Suhana sekali sekali memecahkan sepi perjalanan itu.

Razali sungguh gembira sekali. Sebagai pemandu lori sepenuh masa, mereka jarang dapat bersama. Terutama apabila Razali sering diarahkan ke luar kawasan.

Hari ini, Razali rasa bertuah kerana dapat berkumpul bersama ahli keluarganya. Saadiah sekali sekala menyuapkan buah-buahan ke dalam mulut suaminya. Sekali sekala mereka tertawa bahagia.

Suhana yang menjadi penyeri hidup sedang menyusu di ruang khas, di belakang tempat duduk pemandu.

“Abang, sayang kat kita ke?”

“Eh! Memanglah sayang. Iyah pulak.”

“Kita memanglah sayang abang. Kalau tidak, masakan kita nak ikut abang. Abang, kalau apa-apa terjadi pun, janganlah tinggalkan kita ya?”

“Habis anak kita itu siapa nak jaga?”

“Alah, abang ni.” Saadiah mencubit manja lengan suaminya.

“Suhana. Bila besar nanti jadilah ‘orang’ tau! Jadi anak solehah. Doakan emak ayah selalu ya”, pesan Razali kepada anaknya Suhana. Entah mengerti atau tidak bayi itu, tiada siapa yang tahu.

Lori kargo sarat berinti besi meluncur menuruni bukit di lebuh raya Bentong-Kuala Lumpur.

Berhampiran sebuah jambatan, sebuah bas ekspress sedang merangkak memotong lori mereka.

Razali dan keluarganya dapat merasakan repuhan angin yang deras. Angin biasan itu hasil pintasan bas tersebut.

Sebaik bas ekspress berjaya memotong mereka, mereka terdengar bunyi letupan yang amat kuat.

“POM!!”, tayar belakang lori pecah. Serentak dengan itu lori mereka terhuyu-hayang.

“Apa itu abang. Abang, Kenapa abang?!”

Razali tidak menjawab soalan. Dia sedang sibuk.

Razali dengan sepenuh kuderat cuba mengawal lorinya. Dia mengilas stereng ke kanan. Tetapi ada kereta sedang dipandu laju di sebelah situ.

Kemudian dia memulas ke kiri. Dia terlihat penghadang jalan. Dia mahu menggunakan penghadang jalan itu untuk menghentikan saat cemas ini.

Razali cuba menekan padel brek. Ia berfungsi. Tetapi tidak mampu memberhentikan lori.

Lorinya menghimpit ke kiri. Lori besar itu merempuh pembahagi jalan.

Besi sama besi bergesel. Merempuh. Berbunyi nyaring. Geselan yang nyilu. Meresik.

Tetapi usaha itu masih tidak berhasil. Lori yang besar dan hentaman kuat menyebabkan penghadang jalan rebah.

Lori dan penghadang jalan menjadi satu. Lalu jatuh ke bawah jambatan setinggi bangunan empat tingkat.

Pitam seketika, kemudian Razali menjerit, “Allah! Allah! Allahu Akabarrrrr!!!!”

“Abang! Abang!!!”, Saadiah tercampak. Badannya terperosok ke cermin hadapan lori.

Razali terhentak di seterengnya. Dadanya memenuhi luas diameter setereng itu.

Di bawah sana ada sungai. Sebelah sungai ada sebatang jalan raya. Ia adalah jalan raya batu 11 Gombak. Bumbung-bumbung rumah orang kampung sayup kelihatan dari atas jambatan itu.

Sebaik lori menerobos dan menunduk ke bawah, Razali mulai sedar, ia akan jatuh dan menjunam ke atas pokok balak di tebing sungai dahulu. Kemudian akan terhempas ke atas batu, tanah atau sungai.

Kepala lori mengenai pucuk pokok balak. Dahan menghentam cermin lori. Lalu memecahkannya. Saadiah pun jatuh, tercampak keluar bersama leraian kaca itu.

Saadiah melayang-layang di udara sebelum terhempas ke pangkal perdu pokok di tepi jalan.

“Abang!!!” Saadiah sempat memanggil suaminya.

“Saadiah!!! Allahu akhbarrrr, Allahu akbbarrr!!!” Razali gamam menyaksikan isterinya jatuh. Dia cuba mengingatkan Saadiah tentang Tuhan. Itu sahaja yang dia termampu buat.

Dahan pokok patah, lori dengan deras menghenyak pokok itu. Laju menjunam mendapatkan tanah.

Dahan-dahan pokok menumbuk dan menyepak tubuh Razali.

Sebatang dahan yang patah telah sedia menanti. Lalu ia menusuk ke dada Razali.

“Allahuakabar!!!” Pekik Razali dengan nyaringnya.

Ranting-ranting yang lain terus menampar-nampar muka Razali tanpa belas kasihan. Kepalanya cedera. Kepalanya parah.

Mulut Razali masih terkumat-kamit. Barangkali sedang berzikir atau mengucapkan kalimah syahadah. Sesaat kemudian Razali terdiam. Sunyi sendirian.

Saadiah terlentang di perdu pokok. Darahnya berhemburan di mulut. Tulang belakang patah.

Dia sempat memanggil nama suaminya. Dia menyaksikan betapa rakusnya dahan itu menerobos dada Razali.

“Abang! Allah … Allah … Allah”, suara Saadiah semakin melemah.

Pokok balak yang besar itu akhirnya tewas. Ia tumbang dan menghempap jalan. Separuh jalan lama Gombak - Bentung terhadang olehnya.

Lori kargo yang berat betan-tan itu akhirnya terhenyak di tebing sungai. Kepalanya ke bawah melanyak batu-batuan.

Bangkai lori itu sudah tidak sepertinya. Semua tayar sudah tertanggal. Enjinya sudah bersepai. Sisa-sisa badan lori tercampak sana sini.

Sebaik mendengarkan dentuman yang amat kuat, orang kampung bergegas keluar rumah.

Mujur jalan di bawah jambatan itu lengang. Biasanya waktu-waktu pagi ini sibuk dengan kenderaan.

Mereka yang berani telah mendapatkan Saadiah yang sedang tenat. Mereka mengangkatnya. Lalu meletakkan beliau di tepi jalan itu.

Darah keluar dari hidung, telinga dan mata. Tangan Saadiah masih mengelitik. Kakinya masih bergerak-gerak sentak. Kelopak mata masih terbuka. Anak mata sudah ke atas meninggalkan bola mata putih.

Saadiah sedang nazak. Mulut Saadiah masih terkumat kamit. Tiada siapa yang tahu apa yang diwasiatkan. Tiada siapa yang faham.

Hanyir darah segera menusuk ke hidung. Memenuhi ruang.

Tiada siapa yang mengajarkan Saadiah mengucap. Tiada siapa tahu dia seorang Muslim. Hanya sesudah kad pengenalan ditemui barulah mereka tahu mangsa adalah seorang Islam. Itupun sudah terlambat. Saadiah sudah pun pergi buat selama-lamanya.

Orang ramai menemui Razali. Razali masih berada di dalam lori itu. Razali tersepit dan dahan yang besar masih di dadanya.

Orang ramai mulai membuat telahan. Mereka merasakan hanya dua orang mangsa iaitu pemandu dan kalendan lori sahaja.

Seorang anak muda sedang memeriksa bangkai lori itu. Dia terpijak sesuatu. Dia mengangkat kakinya dan terpandangkan ada anak patung di situ.

Sebaik dia menunduk untuk mengambil anak patung itu, dia terlihatkan sebotol botol susu. Botol susu itu masih separuh berair susu. Tidak jauh dari situ dia ternampak tin susu pula dan beberapa helai pakaian bayi.

“Ada baby! Ada baby! Tolong cari baby, tolong cari baby! Tolong” Dia menjerit bersungguh-sungguh.

Orang ramai mencari kawasan sekitar. Tetapi tidak menemui Suhana.

Beberapa detik kemudian, seorang mak cik berlari-lari anak. Dia menjadi saksi melihat sekujur tubuh kecil melayang-layang di bawa angin.

Mak cik itu ternampak ia mendarat di dalam semak samun di seberang sungai di sebelah sana.

Orang ramai berkejaran ke seberang sana. Lalu mereka menemui Suhana. Suhana sedang duduk menggigil. Termangu-mangu, terpinga-pinga.

“Dah jumpa! Dah jumpa! Bayi tu dah jumpa!!” mendengarkan pekikan pemuda-pemuda itu, barulah Suhana tersentak dan menangis.

Suhana terus-terusan menangis sambil memanggil nama ibunya, “Ibu… ibu… Ayah, ayah…”

Suhana diletakkan di tepi jalan raya itu sambil menanti ambulan datang. Dari jauh Suhana merangkak lalu mendapatkan jenazah ibunya yang sudah diam kaku.

Suhana terus mendakap ibunya sambil menangis. Merayu-rayu agar ibunya bangun dari tidur. Dia mengoncang-goncang mayat itu, “Ibu, ibu, ibu…. Ayah, ayah. Ibu …”.

Seorang perempuan separuh umur mengangkat kembali bayi itu lalu cuba memujuknya.

Orang ramai mula membersihkan jalan raya berkenaan setakat yang termampu sementara mereka menantikan bomba, polis dan ambulan datang.

Maza sampai ke lokasi kejadian itu setelah dua puluh minit kemudian kemalangan berlaku. Ketika itu pihak bomba sedang sibuk menguruskan pokok yang sedang menghadang jalan.

Moral: hapuskan airmatau yang sedang mengalir itu.

Bookmark and Share

Sambung Belajar: Graduasi

“Kau ni. Masa kecik-kecik tak nak belajar bersungguh-sungguh. Dah besar panjang, anak dah beranak-pinak, baru ingat nak belajar balik! Apa kau dah buang tebiat ke? Siapa nak tanggung anak bini kau nie? Aku tak sanggup lagi dah.”

Emak tidak menyetujui cadangan maza. Maza tertunduk sayu. Sedih dimarahi olehnya. Sokongan yang diharapkan, lain pula jadinya. Sokong membawa rebah.

“Ah’ah Mak. Along tu nanti, bila dah belajar tinggi-tinggi, dah jadi graduan, mulalah tak ingatkan kita. Entah-entah lupa anak bini pulak. Mulalah dia pasang angan-angan nak berbini lagi satu!” adik ipar maza menambah perisa keperitan.

“Tidak. Abang janji, abang tak sia-siakan sesiapa pun. Emak tak payah susah-susah keluarkan belanja. Duit orang rumah abang pun abang tak akan usik. Abang akan kerja lebih masa. Kalau perlu, abang akan kerja part time untuk menampung yuran kuliah.

Apa yang penting sekarang ini ialah restu dari emak. Mudah-mudahan perjalanan abang dan keluarga ini diberkati dan berjaya”

“Ell … leh … lelaki memang macam tu. Belum dapat, bagai menanam tebu di hujung bibir. Tabur janji aje, buat belum tahu!” pendapat wanita yang stereotype terpacul dari adik ipar maza.

Kemudian emak menambah lagi, “Huh! Payah aku nak cakap dengan engkau ni. Dulu masa suruh pergi sekolah, siap panjat pagar, berlari balik. Lepas tu, bila besar sikit malas nak belajar. Ha! Apa pendapat kau Aida?”

“Errr … saya ok aje mak. Selagi abang maza tak menyimpang, betul cara dan niatnya. Saya tiada masalah. Lagipun kalau saya halang, seribu satu alasan lagi abang maza boleh buat. Ada aje tu karang. Bukan mak tak kenal anak mak seorang tu”

Walaupun berbunyi agak masam-masam pahit, tetapi sekurang-kurangnya kenyataan isteri maza sudah dikira menyinarkan isyarat lampu kuning.

Lampu hijau, masih menantikan keputusan emak.

Apakan daya, bila dah besar panjang seperti ini barulah teringat hendak belajar. Kata orang, menuntut ilmu biar sampai ke liang lahat.

“Hmm .. Kau mesti janji. Lepas lulus nanti jangan kau nak gatal-gatal sampai tak ingat anak bini. Mentang-mentang dah punya ‘lesen besar’, kau lupakan anak bini pulak. Sudah! Lepas ni belajar bersungguh-sungguh. Ini last. Lepas ini emak tak nak dengar apa-apa lagi. Tau!”

“Yahooo…” dua tangan maza tergapai-gapai ke udara seumpama burung kelicap menghisap bunga.

Ah! Memang salah aku juga. Dulu masa sekolah tidak mahu belajar bersungguh-sungguh.

Tetapi, sebenarnya maza tidak mahu membebankan orang tua. Menyambung pelajaran ini memerlukan kos tinggi. Dulu masa belajar di Institusi Pengajian di Kuala Lumpur hutangnya masih berbaki.

“Lantahlah! Yang penting aku telah register dua bulan yang sudah. Sekarang ini aku perlu fokus. Peperiksaan semesta akhir sudah hendak bermula. Aku perlu fokus. Fokus untuk lulus ujian atas jalan raya pada 18.02.2009.”

Semenjak mendaftar di Sekolah Memandu SKEM, Gombak, Kuala Lumpur, maza dengan tekun mengikuti kelas lesen memandu B penuh.

Walaupun sudah punyai lesen B2 (lesen motorsikal 250 cc ke bawah) tetapi segala tipu helah dan teknik sudah lupa.

Walaupun ujian B penuh (lesen motorsikal 500 cc ke atas) hampir serupa dengan lesen B2, ulangkaji dan sokongan amatlah diperlukan.

Jadi, maza mohon doa kalian untuk mempermudahkan urusan maza, lulus dengan cemerlang dan sempat graduan di pesta konvokasyen nanti!

Akhir kalam - “Betemu Di Kemuncak Kejayaan”

maza: cerita cita-cita

Bookmark and Share

Mengamit Teman Lama

“Woit, Syahril!”

Sebaik maza menongkatkan motorsikal Yamaha Baby R1 Lagenda 115, maza terus melangkah masuk ke pintu pagar Utusan Publication. Tidak semena-mena maza terserempak dengan seorang lelaki yang sudah lama tidak ketemu.

(Gambar: Dari Kiri Syahril & Maza)

(Gambar: Dari Kiri Syahril & Maza)

Teman ini pernah mengaji bersama-sama maza di salah sebuah institusi pengajian di ibukota. Satu jabatan, satu jurusan.

Hampir lima tahun kami tidak bersua muka. Kali terakhir kami bertemu ketika beliau masih bekerja di Bank Negara, kemudian berpindah ke Citibank.

Kini Syahril sudah bertukar angin. Beliau menjawat jawatan Eksekutif Pemasaran di Utusan Pulication & Distribution Sdn. Bhd.

Syahril menyambut kehadiran maza dengan terhegeh-hegeh mengangkat sekotak air mineral untuk dipamerkan di atas meja jualan Kelab Kakitangan Utusan Publication.

“Eh! Macam mana kau boleh berkerja di sini”

“Ginilah. Aku sebenarnya mencari ‘kebahagiaan’. Hidup di tempat dulu tu tidak memberikan ketenangan. Jadi aku berhenti. Akhirnya aku berada di sini.”

Gelagat kami yang lagak seperti orang melepaskan kerinduan itu diperhatikan oleh seisi umat yang sedang membeli belah di Pesta Buku Utusan.

Pesta buku ini berlangsung di Taman Shamelin Perkasa, Cheras sehingga 8 Februari 2009. (maklumat lanjut sila lihat di blog ini ..Klik di sini (RMN))

(Gambar: Dari Kiri Maza, Syahril, RMN)

(Gambar: Dari Kiri Maza, Syahril, Rozlan)

Kunjungan maza ke sini sebenarnya untuk bertemu editor tersohor iaitu Rozlan Mohamed Nor di atas kapasiti penulis.

Sambil melirik di gerai Kelab Kakitangan Utusan Publication, maza sempat bertanya kepada En. Rozlan, “Cintaku di mana?”

“Tu dia?”

Cinta seorang ‘kaki blog’ mulanya cuba berselindung dari selendang hitam yang dipakainya. Agak malu-malu di situ. Tetapi mata maza sempat menikam wajahnya.

Mungkin kehadiran maza sudah dihidu oleh Cinta sejak mula lagi. Lalu Cinta cuba mengawal keghairahannya. Sebab itu jugalah, segala tingkah laku brutal cuba dikawalnya.

Itulah kali pertama maza dapat bertentang mata dengan Cinta. Pada kebiasaan kami hanya mesra di alam maya. Tetapi kali ini dari wajah ke wajah.

Dari pemerhatian maza, Cinta sememangnya seorang gadis yang ayu. Namun setelah beberapa jam bermesra, akhirnya watak yang diselindunginya terpacul juga. (Kalaulah ada masa tambahan lagi, barangkali keakraban kami mampu menjadi seperti adik beradik – tapi mak lain, bapak lain … huhuhu)

Kali ini bukan sahaja maza bertemu dengan Rozlan bahkan sahabat lama Syahril dan Cinta.

Bookmark and Share

Older Posts »